PANDU UJI
[Pandu Uji]-Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid atau 2.5L 4WD, dua-dua ada kelebihan tersendiri
Buat masa ini, trend segmen SUV boleh dikatakan semakin menambat hati pengguna di dunia dan ia juga merebak bagi pasaran Malaysia.
Jadi tidak perlu terkejut jika ada beberapa pengeluar automotif semakin tawar hati untuk menawarkan segmen sedan dan lebih menumpukan kepada jentera SUV untuk mereka kekal releven dalam pasaran semasa.

Bagi Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), keputusan mereka untuk tidak lagi mengeluarkan Nissan Teana adalah tepat supaya boleh menfokuskan jualan kepada segmen kepada SUV serta MPV.
Untuk kekal releven dalam industri automotif tempatan, ETCM turut melancarkan SUV baharu menerusi model Nissan X-Trail yang dilancarkan April lalu.
Ia ditawarkan dengan empat varian berbeza, tetapi penulis hanya sempat menguji dua daripadanya iaitu Nissan X-Trail 2.0 L 2WD Hybrid dan Nissan X-Trail 2.5L 4WD.

Buat pengetahuan anda, Nissan X-Trail ada sebuah SUV yang mempunyai tujuh tempat duduk (kecuali model hibrid dengan lima tempat duduk) dan justeru itu, ia tidak boleh dibanding dengan Honda CR-V, Proton X70 atau Mazda CX5.
Bagi mengetahui apa kelebihan jentera ini, penulis dijemput ETCM memandu ujinya dari Shah Alam, Selangor ke Gerik, Perak.

Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid
Dalam keluarga X-Trail, varian hibrid ini adalah model yang paling mahal selepas ia dijual pada harga RM159,888.
Biarpun harga yang mahal, ia sebenarnya agak berbaloi kerana banyak ciri-ciri baharu serta teknologi terkini pada model berkenaan.
Ia boleh dibezakan dengan enjin hibrid yang digunakan iaitu MR20DD 2.0L DOHC Twin CVTC suntikan terus yang menyalurkan 142hp pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm. Motor elektriknya memberi kuasa tambahan sehingga 39hp dan tork 160Nm.

Jadi untuk enjin 2.0 liter itu, ia mampu menghasilkan 181hp sekiranya kuasa daripada rangkaian kuasa digabungkan dengan motor elektrik. Kuasa itu disalurkan menerusi transmisi X-tronic CVT yang dikemas kini dengan mod manual 7-kelajuan.
Bagi penulis, enjin itu sebenarnya memberi kuasa yang cukup mengagumkan lebih-lebih lagi ketika menekan pedal minyak dan ia memberi tindak balas responsif.
Pada masa sama, kuasa yang dibekalkan itu membuatkan penulis lebih yakin dan tidak lagi ragu-ragu untuk memotong kenderaan lain pada laluan berbukit ketika melalui jalan berbukit.
Ini menunjukkan enjin hibrid ini memberi tindak balas yang lebih baik, selain memberi penjimatan bahan api secara optimum.
Lebih menarik, pengendaliannya juga lebih rasa ‘sedap’ ketika mengambil selekoh dan ia lebih jitu. Suspensinya juga memain peranan yang penting dan memberi kestabilan, selain kurang rasa membuang ketika melayan selekoh pada kelajuan tinggi.
Pada kelajuan tinggi, penulis boleh rasakan sterengnya rasa sedikit berat dimana ia memberi lebih yakin untuk memandu.

Malah ruang kabinnya boleh dikatakan agak premium dengan penggunaan material lembut pada papan pemuka dan susun atur butang yang cukup kemas.
Sistem audionya tidak kurang hebatnya, ini kerana ia mempunyai ciri navigasi, Apple CarPlay dan Android Auto yang memudahkan penggunanya menikmati muzik kegemaran sepanjang pemanduan.
Paling penting, ia dilengkapi dengan ciri pemanduan pintar yang lengkap, Nissan Intelligent Mobility. Ia terdiri daripada Amaran Perlanggaran Depan Pintar (iFCW) dengan Brek Kecemasan Depan Pintar (iFEB), Bantuan Suluh Tinggi (AHB), Amaran Tukar Lorong (LDW), Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Monitor Pandang Keliling Pintar (iAVM) dengan Pengesan Objek Gerak Pintar (iMOD), Kawalan Pandu Pintar (iRC) dan Brek Enjin Pintar (iEB).

Berbicara dengan kesenyapan ruang kabin, penulis boleh katakan ia cukup terbaik dalam kelasnya. Bunyi yang menyerap masuk daripada enjin atau angin di bahagian luar, seolah-olah diserap dan membuatkan sepanjang perjalanan lebih tenang.
Cuma, model hibrid ini tidak mempunyai barisan tempat duduk di bahagian belakang kerana ruang itu dipenuhi dengan bateri lithium-ion. Bagaimanapun, ruang simpanan but masih lagi luas dan tidak akan memberi masalah jika mahu mengisi barangan yang banyak.
Biarpun harga sedikit mahal, ia sebenarnya banyak memberi kelebihan terutama prestasi, penjimatan bahan api serta paling penting ciri Nissan Intelligent Mobility yang canggih.

Nissan X-Trail 2.5L 4WD
Sebaik menukar kepada varian Nissan X-Trail 2.5L 4WD, memang banyak perbezaannya. Dari segi harga, ia lebih murah yang dijual pada harga RM153,888.
Kelebihan varian ini, ia mempunyai tujuh tempat duduk berbanding dengan varian hibrid yang memiliki lima tempat duduk. Bagi mereka yang mahu SUV bersaiz besar dengan tempat banyak, Nissan X-Trail 2.5L 4WD adalah pilihan tepat untuk anda.

Enjinnya pula, ia menggunakan rangkaian kuasa 2.5 liter Twin CVTC yang menyalurkan kuasa 169hp pada 6,000 rpm dan 233 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia juga dipadankan transmisi sama iaitu X-Tronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan.
Prestasi enjin juga lebih kurang sama dengan versi hibrid, cuma ia terasa sedikit berat, tetapi ketika memecut di lebuh raya, varian ini boleh dikatakan cukup bagus serta sangat mantap.
Pada kelajuan 160km/j, penulis rasanya seolah-olah rasa seperti dalam kelajuan 110km/j. Ini jelas menunjukkan SUV ini rasa stabil dan cukup padu pada kelajuan tinggi.

Cuma, penulis rasakan sterengnya rasa lebih ringan seolah-olah terpaksa memegang dengan kuat untuk mengendalikan jentera ini pada kelajuan tinggi.
Bagaimanapun, padanan sistem Intelligent 4×4 Mode ternyata memberi satu lagi ciri kelebihan kepada varian ini. Ia sangat berguna untuk memberi pengendalian yang stabil di selekoh untuk memberi cengkaman kepada keempat-empat roda apabila diperlukan.
Dari segi ciri keselamatan, jentera ini langsung tidak mengecewakan selepas ia turut dilengkapi Nissan Intelligent Mobility, iaitu hampir sama seperti varian hibrid.
Kesimpulannya, bagi penulis yang sudah berkeluarga, semestinya Nissan X-Trail 2.5L 4WD menjadi pilihan kerana ia mempunyai tujuh tempat duduk serta mempunyai ciri teknologi terkini hampir sama seperti varian hibrid.
Must-Watch Video