Penyanyi Ainan Tasneem memaklumkan bahawa dia kini menunggu hari untuk melahirkan bayi kembarnya.

Menurut Ainan atau nama sebenarnya, Ainan Tasneem Redzuan, 28, dia dijangka bersalin selewat-lewatnya pada minggu depan.

"Kandungan dah nak masuk 36 minggu. Doktor bagi masa sampai 37 minggu je untuk bersalin sebab kembar kan.

"Jadi, Insya-Allah minggu ini atau minggu depan dapat jumpa bayi kembar. Tak sabar!," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam entri tersebut, pelantun lagu Aku Suka Dia itu turut berkongsi foto terkini dirinya yang sarat berbadan dua.



Katanya, dia berharap dapat menjalani proses bersalin secara normal.

"Dua-dua kepala dah di bawah. Harap sangat dapat bersalin secara natural tanpa induce dan dapat bersalin normal kalau tiada sebarang komplikasi. Mohon doa daripada semua ya," katanya.

Pada masa sama, Ainan turut meluahkan cabaran yang terpaksa dilalui ketika mengandung anak kembar sehingga menyukarkan pergerakan hariannya.

"Sebenarnya memang tak larat dah nak bawa perut. Sakit pinggang, sakit belakang, masa tidur pun lenguh-lenguh badan padahal tak ada buat apa-apa aktiviti pun.

"Kalau nak tukar posisi masa tidur lagilah subhanallah.... sakit yang amat ya. Rasa nak menangis. Berdiri pun tak boleh lama sangat kalau tak memang gigil-gigil kaki," ceritanya.

Sebelum ini, Ainan turut meluahkan kebimbangannya melahirkan bayi kembar pramatang berikutan masalah saiz pada bayinya.

BACA: "Doktor Cakap Salah Satu Baby Kembar Kecil Sikit" - Kandungan Dah 31 Minggu, Ainan Tasneem Terpaksa...

Ainan berkahwin dengan Mohammad Ariffudin Mohammad Swaimi pada tahun 2017.

Pasangan itu kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan, Ainan Salsabiela yang kini berumur dua tahun.