Biarpun hanya menerima pendidikan setakat darjah 6, namun Wagiman Dulahabedi, 61, berjaya membuktikan bahawa ia bukan penghalang untuk dia mencetuskan inovasinya sendiri di dalam bidang teknologi.

Buktinya, Wagiman Dulahabedi telah berjaya mereka cipta trak serbaguna yang mampu membantu masyarakat di kampungnya untuk memudahkan mereka melakukan hasil-hasil pertanian di lading mereka.

Dilahirkan di Muar Johor baru pada tahun 1954, Wak Wagiman pernah bekerja sebagai seorang pemandu lori dan kemudiannya mencari rezeki sebagai petani di ladang kelapa sawit pada usia 40 tahun.

Sebagai petani, Wak Wagiman dan masyarakat kampung beliau sering berhadapan dengan kekangan pengangkutan hasil kelapa sawit. Lantas beliau gigih memikirkan alat atau kenderaan yang mampu memudahkan kerja-kerja mengangkut.

Ciptaan pertama beliau adalah sebuah kereta sorong khas namun ia masih tidak mampu menampung hasil kelapa sawit yang diperolehi. Sebabnya, kereta sorong tersebut berkapasiti kecil dan memerlukan tenaga yang tinggi untuk mengendalikannya.

Selepas itu, tercetuslah idea menggunakan motosikal pula. Akan tetapi penggunaan motosikal masih belum dapat mengangkut buah kepala sawit dengan lebih efisien.

Pada tahun 1994, Wak Wagiman mula menghasilkan trak sebaguna yang dapat memudahkan perkerjaan beliau di ladang. Dengan berbekalkan sebuah kotak gear enjin VESPA terpakai, Wak Wagiman memperincikan idea beliau dengan pergi ke kedai besi terpakai dan barang potong.

Hasil padansuai daripada barangan terpakai dan buangan, maka terhasilah sebuah trak serbaguna yang mampu pelbagai barangan terutamanya hasil kelapa sawit dari ladang beliau. Trak serbaguna tersebut dikenali sebagai Gerabak Ayer Hitam (GAH).

Walaupun menggunakan kekuatan enjin motosikal Vespa, Gerabak Ayer Hitam ciptaan Wak mampu mengangkut hasil ladang seperti kelapa sawit, nenas, getah dan lain-lain tanaman yang berat. Selain itu, setiap komponen yang dipasang untuk membuat trak ini mudah dipasang serta dibuka. Ini membolehkan trak tersebut mudah dijaga, dibaiki tanpa penjagaan teliti.

Bermula dengan kegunaan sendiri, trak serbaguna Wak Wagiman akhirnya berjaya mendapat sambutan ramai. Sejak itu, beliau telah membina lebih banyak trak demi berkongsi kesenangan bekerja di ladang dengan jiran tetangganya.

Sebagai seorang inovator atau pencipta, beliau akan menggunakan apa saja barangan terpakai yang ada. Sama ada kerusi plastik lama, rim tayar lori lama, enjin skuter, kotak gear terpakai dan motor sprocket; beliau akan berusaha mencari jalan bijak untuk menginovasikan barangan tersebut menjadi mesin-mesin berguna yang dapat membantu aktiviti pertanian.

Wak Wagiman juga harus mengeluarkan modal demi menghasilkan traknya. Sebuah enjin skuter terpaksa dibeli di antara RM500 hingga RM600 manakala rim roda terpakai pula pada harga RM25 setiap satu. Bagi badan kenderaan pula, beliau membeli secara langsung dari kilangnya.

INOVASI MENJANA PENDAPATAN

Sehingga kini, Wak Wagiman telah menghasilkan lebih 100 buah trak serbaguna. Trak tersebut dijual pada harga RM7,000 hingga RM13,000 setiap satu bergantung kepada spesifikasinya. Sebagai contoh, trak berharga RM7,000 tersebut mampu menampung hasil tanam sehingga keluasan 12 hektar.

Pada tahun 2011, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menjejaki inovasi Wak Wagiman di kampungnya dan mengenalpasti rekaan yang dihasilkan serta khidmat beliau kepada masyarakat setempat dalam memudahkan aktiviti pertanian dijalankan. YIM telah bekerjasama dengan pihak , telah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Industri Kecil Sederhana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED) untuk memberi bantuan infrastruktur bagi menambah-baik bengkel Wak Wagiman serta kelengkapan yang lebih moden.

Selama 21 tahun Wak Wagiman berkecimpung dalam industri trak ini, beliau amat berterima kasih kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kerana memberi penghargaan kepada beliau yang tidak pernah beliau impikan. YIM turut memberi beliau pendedahan yang amat berharga menerusi penglibatan dalam acara World Innovation Forum- Kuala Lumpur (WIF-KL) sebagai salah seorang exhibitor dan juga delegasi.