Poster untuk filem Korea terbaru berjudul #ALIVE lakonan Park Shin Hye dan Yoo Ah In telah pun didedahkan.

Melihat pada poster filem itu sahaja sudah cukup membuatkan netizen tidak sabar menunggu gabungan dua pelakon hebat berkenaan.

Paling mengujakan apabila ayat yang digunakan pada poster tersebut adalah “tiada data, tiada Wi-Fi, tiada pesanan ringkas (SMS), tiada panggilan. Putus hubungan dengan segalanya… #ALIVE”.

Poster itu juga menunjukkan Ah in dan Shin Hye berada dalam keadaan cemas dan takut kerana pangsapuri yang diduduki mereka mula dikerumini zombi dan ada sesetengahnya sudah mula menyerang di tingkat bawah pangsapuri mereka.

Kapsyen lain yang digunakan juga menarik perhatian iaitu “Seoul, Republik Korea. 6:24 pagi, internet terputus”.

Setakat ini netizen sudah mula menunjukkan reaksi positif dan tertanya-tanya mengenai kehebatan jalan cerita filem berkenaan.

“Tak sabarnya! Dah lama saya menunggu kemunculan semula Yoo Ah In!” tulis Niesh Allen.

“Okay ini memang tak sabar! Sekiranya ada filem atau drama yang melibatkan Yoo Ah In sudah pasti ianya sangat bagus,” komen Joh Cee Lynne.

“Rasa nak menjerit! Dah lama saya menunggu lakonan baru Yoo Ah In!” coret Crizel An Perez.

Tayangan #ALIVE dijadualkan pada penghujung Jun depan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU